Showing posts with label Kolumnis. Show all posts
Showing posts with label Kolumnis. Show all posts

Tuesday, 21 June 2011

Mahasiswa, AUKU dan PRU13

0
Beberapa ketika dahulu dunia aktivisme kemahasiswaan diberi nafas kembali apabila Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah mencadangkan agar mahasiswa kembali diberi ruang melibatkan diri dalam politik.

Beliau berkata, masanya telah tiba bagi kita mengkaji semula kedudukan sekarang dan berfikir secara serius bagi membenarkan pelajar universiti menjadi ahli parti politik.

Namun percanggahan cadangan ini dengan peraturan di dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti menjadikan mahasiswa terus pesimis dengan cadangan-cadangan selepas daripada itu yang dikeluarkan oleh Menteri berkenaan.

Tambahan pula dengan lontaran idea yang hanya dibiar sepi oleh pihak Kementerian selepas ianya diperbincangkan oleh semua pihak, akhirnya cadangan ini senyap begitu sahaja.

Dalam hal ini, terdapat dua persoalan penting yang harus kita rungkaikan. Pertama, bagaimana ruang lingkup berpolitik yang perlu difahami oleh mahasiswa?

Perkara asas yang perlu difahami oleh mahasiswa ialah mahasiswa adalah suatu entiti di dalam masyarakat yang pada hakikatnya mempunyai kewarganegaraan yang sah seperti rakyat Malaysia yang lain.

Lalu, di atas asas ini kita memahami bahawa mahasiswa juga adalah rakyat di mana hak sivil seperti bersuara, mengemukakan pendapat, memberi cadangan dan lain-lain adalah dijamin oleh perlembagaan. Hak ini diiktiraf oleh perlembagaan Malaysia serta tidak boleh dinafikan oleh sesiapa pun.

Sebagai kelompok intelektual dalam masyarakat, aksi berpolitik mahasiswa tidaklah sama seperti masyarakat biasa.

Kelebihan daya intelektual ini memberikan mahasiswa keupayaan untuk melihat negara dengan pandang sisi yang tersendiri. Idea kelompok mahasiswa adalah 'genuine' atau asli yang menjadikan mahasiswa tidak boleh dipengaruhi oleh mana-mana pengaruh politik kepartian.

Oleh sebab itu, prinsip 'non partisan' menjadi teras penglibatan mahasiswa dalam politik tanah air.

Selain itu, mahasiswa juga dikelompokkan di dalam kelompok masyarakat sivil. Di dalam sesebuah negara yang mengimpikan keadaan politik yang stabil, masyarakat sivil berfungsi menjadi agen semak imbang kepada negara.

Mahasiswa bebas memberi cadangan dan mengkritik secara konstruktif berbekalkan nilai-nilai akademik yang digariskan. Salah faham sesetengah pihak di dalam hal ini ialah, apabila mahasiswa mengkritik maka mereka dilabel 'anti-establishment' dan dianggap mahu menjatuhkan kerajaan.

Oleh itu, aksi-aksi politik mahasiswa harus ditanggapi dengan cermat, jangan sampai seluruh anak muda protes terhadap politik negara.

Persoalan kedua, apakah AUKU itu sendiri menjadi 'root cause' atau masalah pokok yang mengekang aktivisme mahasiswa di dalam politik?

Jawapannya adalah ya.

AUKU itu sendiri dicipta atas tujuan yang tidak baik atau disebut sebagai 'mala fide'. Penggubalan AUKU adalah bertujuan bagi menyekat maraan gerakan mahasiswa bertitik tolak daripada beberapa peristiwa.

Antaranya, seperti pengisytiharan manifesto oleh Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) di dalam Pilihanraya Umum ke-4 sehingga tercetusnya Persitiwa 13 Mei 1969, demontrasi Anti Tunku oleh PMUM di UM pd 29 Ogos 1969 serta demontrasi “Papan Tanda” 5 Okt. 1970 iaitu pertembungan PMUM (sosialis) & PBMUM (nasionalis) sehingga membuka terlalu banyak kelemahan Kerajaan dalam isu Bahasa Melayu dan Pendidikan.

Pembaca jangan terlalu terkejut dengan dakwaan saya ini.

Baru-baru ini saya melihat gambar di dalam laman sosial Facebook Hal Ehwal Pelajar Universiti Malaya, di dalam slaid pembentangan oleh bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) menggariskan poin bahawa AUKU berjaya mengekang kegiatan pelajar yang bertentangan dengan dasar universiti dan kerajaan.

Beliau dalam slaid tersebut juga berpendapat gerakan pelajar ini tidak boleh dipandang ringan kerana berpotensi menggugat keselamatan serta menjatuhkan kerajaan.

Mahasiswa, AUKU dan PRU13

Saya menulis artikel ini dengan niat untuk melihat kembali sejauhmana kebebasan pergerakan mahasiswa diberi perhatian. Saya mencadangkan idea membenarkan partisipasi mahasiswa dalam politik dinilai segera oleh kerajaan dan semua pihak terutamanya menjelang Pilihanraya Umum ke-13.

Ini juga sebagai langkah awal bagi memastikan tiada lagi mahasiswa yang didakwa, ditangkap dan dibicarakan atas nama AUKU apabila melibatkan diri dalam politik negara.

Penulis adalah Yang Di-Pertua MPMUM
READ MORE >>

Saturday, 18 June 2011

Anak Muda Jangan Lupa 9 Julai

0
Ibuku...
Halalkan setiap titis susumu..
Halalkan setiap keringatmu melahirkanku..
Halalkan setiap suapan ke mulutku..
Halalkan setiap air mata yang mengalir keranaku

Ayah...
Halalkan setiap rezeki yang kau kongsi untukku..
Halalkan setiap peluh yang kau tumpahkan untukku..
Halalkan setiap senyuman kegembiraanmu atas kelahiranku..

Isteriku...
Andainya ini adalah pertemuan terakhir kita..
Kaulah permata dalam hidupku..
Kaulah penyeri didalam alamku..
Kaulah srikandi indah padaku sebagai suami...
Sesungguhnya.. Aku redha dengan kehidupanmu sebagai isteriku..

Anak-anakku..
Maafkan ayah.. meninggalkan kalian disaat kalian memerlukan kasih sayangku..
Maafkan ayah.. meninggalkan kalian disaat gelak tawaku didambakan..
Maafkan ayah.. meninggalkan kalian disaat kalian menempuhi alam anak-anak kecil..

Pemergianku adalah mungkin yang terakhir...
Kerana.. mereka yang berkuasa disana sedang menanti..

Untuk memenuhi paru-paruku dengan gas canister yang perit..
Untuk membutakan mataku dengan asap yang pedih..
Untuk membelantan jasadku dengan cotar dan rotan..
Untuk mematahkan kaki dan tanganku dengan kasut yang berat!
Untuk memenjarakan jasadku didalam lokap yang hancing!

Adakah aku gentar?
Adakah kalian gentar?
Adakah ini penghenti perjuangan?

Tidakk!!
Demi Allah dan Rasul tidak sama sekali!

Mereka menyangka mereka berkuasa!
Mereka menyangka mereka ada segala-galanya!

Mereka boleh memenjarakan jasadku
Tetapi mereka tidak akan mampu memenjarakan jiwaku..

Kerana jiwaku ini milik Allah!
Hidupku ini milik Allah!

Bukan seperti mereka yang merasakan..
hidup mereka milik pemerintah!
Nyawa mereka milik pemerintah!
Jasad mereka milik pemerintah!
Setiap hela nafas mereka milik pemerintah!

Duhai sahabat-sahabat kesayanganku...
Aku akan pergi..
Aku akan berkelana..
Aku akan bermusafir..
Pada 9 Julai ini...
Menuju ke suatu arah yang pasti...

Disana..
Akan menyaksikan.. suatu peristiwa yang akan dikenang..
Oleh beratus generasi yang akan datang...

Jangan sampai ianya akan dikenang
sebagai peristiwa paling kejam dalam sejarah negara..
jangan sampai ianya dikenang
sebagai peristiwa paling zalim dalam sejarah negara..

kerana..
9 Julai ini akan menjadi bukti..
Bahawa rakyat negara ini bukan pengecut!
Jauh sekali dayus dan penakut!
berkata benar dihadapan pemimpin yang zalim!

Ayuh!
Mari korbankan nyawa dan jasad!
Mari hancurkan ketakutan dan kepanikan!

Sudikah kalian bersamaku?

nukilan khas - budakbalun
READ MORE >>

Thursday, 2 June 2011

Rakyat atau Kerajaan yang perlu berjimat?

0
Sekarang kita semua perlu terus sedar bahawa penjimatan kini sudah menjadi wajib. Ia patut menjadi kata kunci kepada semua orang, bukan lagi kepada yang berpendapatan rendah sahaja. Kanapa saya berkata begitu. Harga gula sudah naik, harga minyak sudah berapa kali naik. Untuk harga barang yang lain harap tidak di naikan lagi, sekurang-kurangnya tidak dirasionalisasikan dalam masa terdekat. Harga petrol Ron95, diesel dan gas masih lagi bertahan, entah sampai bila subsidinya dapat diteruskan! Kita tunggu dan lihat.

Dan mulai kemarin (1 jun), bagi pengguna elektrik antara 301kW dan 1000kW unit, tarifnya sudah dinaikan daripada 0.1 hingga 10 peratus, atau RM0.07 kepada RM30.30. Macam biasa, tenang semua. Harga gas asli di Malaysia masih lagi murah berbanding Negara jiran meskipun dengan kenaikan itu. Menurut kerajaan, sebelum atau selepas kenaikan, setelah dirasionalisasikan, harga di Negara ini masih murah jika di bandingkan dengan Thailand sebanyak RM18.23 setiap juta unit termal British (MMBtu). Indonesia RM21.04, Singapura RM43.32 dan Vietnam RM18.70.

Kerajaan kata kenaikan dalam bekalan gas ke sektor perindustrian adalah wajar, iaitu daripada RM15 setiap MMBtu kepada RM16.07 setiap MMBtu, jika dibandingkan dengan Negara serantau seperti Thailand(RM19.46), Indonesia(RM18.74) dan Singapura(Rm113.45). Apa pun, yang jelas pengguna tidak akan selesa dengan sebarang kenaikan.

Apa yang dibimbangkan adalah penyelarasan atau merasionalisasikan tariff elektrik ini akan dijadikan alasan menaikan harga barangan atau perkhidmatan sewenang-wenangnya. Barangkali pengguna boleh rasa sedikit lega dengan jaminan persatuan restoran yang mewakili 2,500 ahli bahawa mereka tidak akan naikkan harga makanan, tetapi adakah kerajaan mahu ringankan bebanan pengusaha restoran dengan pastikan levi pekerja asing ditanggung pekerja itu sendiri. Baca amaran ini. Harga makanan dijangka meningkat seiring pengumuman kerajaan merasionalisasikan tariff elektrik ini, kata Ketua Ekonomis Ratings Agency Malaysia, Yeah Kim Leng.

Apa yang menjadi kempen kebiasaan di dengar rakyat adalah kita perlu jimat. Rakyat perlu bijak dan lebih baik mengambil tindakan jimatkan perbelanjaan melalui berbagai cara. Kerajaan akan sediakan jadual bagaimana cara-cara penjimatan kepada rakyat. Gunakan seterika seminggu sekali, jangan biarkan pintu peti ais air tidak ditutup rapat dan banyak lagi. 

Walaupun 75 peratus isi rumah terlepas daripada kesan langsung kenaikan tarif elektrik, mereka akan menghadapi bebannya apabila pengeluar memindahkan kos lebih tinggi kepada pengguna. Benar jika alasannya pengecualian kenaikan diberi kepada yang mengguna elektrik RM20 ke bawah sebulan, tapi apakah anda dan saya dengan kemudahan dan peralatan yang perlu digunakan dan anggota keluarga yang ramai, kita termasuk dalam golongan itu? Oh ya, hampir terlupa, kerajaan sudah sediakan jadual penjimatan kepada kita semua. 

Saya rasa tidak perlu kerajaan tunjukkan cara penjimatan setelah kerajaan naikkannya. Seolah memainkan rakyat, dan saya rasakan rakyat sudah mula celik dan bukan terlalu bodoh. Kata PM kita, Dato Seri Najib Tun Razak, “rakyat sudah berubah”. Kita sudah lama berjimat cermat kerana harga yang sentiasa dirasionalisasikan sejak sekian lama. Apa yang kita mahukan kerajaan yang perlu belajar berjimat dan pandai menggunakan wang Negara dalam masa yang sama dapat memberikan manfaat kepada rakyat seluruhnya.


MOHD YUSOF HADHARI B. SAIDON -UTMKL
KETUA PENERANGAN GAMIS PUSAT

Blog beliau boleh dilawati melalui :
SeutasTasbih Blog
 

READ MORE >>

Wednesday, 25 May 2011

Mahasiswa kuasa penentu PRU 13

0
Gerakan mahasiswa adalah suatu kuasa yang mesti diberikan perhatian dan diambil perhitungan. Dalam lipatan sejarah universiti, masyarakat dan negara, sama ada dilihat secara universal atau secara perbandingan, misalnya, antara Asia dengan benua-benua lain, atau antara dunia ketiga dengan dunia-dunia lain, atau jika di negara ini, sama ada di peringkat sesebuah universiti atau di peringkat nasional, gerakan mahasiswa punya sejarahnya yang tersendiri.

Kadang-kadang ia diakui dan diiktiraf sebagai sebahagian daripada sejarah universiti, masyarakat dan negaranya, manakala kadang-kadang pula ia hanya tercatat sebagai sejarah di kalangan aktivis dan pendokongnya sahaja. Jika ia diakui dan diiktiraf sebagai sebahagian daripada sejarah universiti, masyarakat dan negaranya, kadang-kadang ia mendapat penafsiran yang baik, manakala kadang-kadang ia mendapat penafsiran yang kurang baik.

Walaupun apapun pengakuan, pengiktirafan dan penafsiran yang diberikan terhadap gerakan mahasiswa, hakikatnya ialah ia adalah satu proses yang amat dinamik dan progresif, sama ada kepada proses pembangunan universiti, masyarakat dan negara, atau sekurang-kurangnya kepada para aktivis dan pendokongnya. Kerana itu, ia perlu dilihat dan dirakam dengan bijaksana. Sebagai sejarah dan penunjuk arah. Bagi gerakan dan pembangunan mahasiswa, universiti, masyarakat dan negara.

Mahasiswa Bangkit

Jika terdapat pendapat yang berbeza tentang tahun permulaan zaman kemuncak gerakan mahasiswa, tetapi, dalam menentukan tahun akhirnya, terdapat pendapat yang sama, iaitu tahun 1974. Walaupun ramai penulis yang menggunakan tahun 1974 dalam tulisan mereka, dan ada juga penulis menggunakan tahun 1971, tetapi tahun 1971 yang digunakan kedua-duanya adalah kerana faktor teknikal.

Pendapat ini turut dikongsi oleh ramai pemerhati gerakan mahasiswa yang lain. Yang menjadikan tahun 1974 adalah tahun akhir zaman kemuncak gerakan mahasiswa ialah kerana setelah peristiwa demonstrasi Baling pada Disember 1974, pindaan telah dibuat terhadap AUKU 1971 pada awal tahun 1975 (dikenali sebagai Pindaan 1975), dan setelah itu, jelas kelihatan berlaku perubahan yang besar dari segi bermulanya zaman kelembapan gerakan mahasiswa.

Bagi pendapat yang mengatakan bahawa tempoh masa dari tahun 1965 hingga tahun 1974 adalah zaman kemuncak gerakan mahasiswa negara, ia diukur dari segi tindakan-tindakan mahasiswa yang bercorak politik. Hal ini termasuklah:

(1) Seminar dan diskusi yang membincangkan soal-soal politik, ekonomi dan sosial di mana mahasiswa berbincang dengan tokoh-tokoh politik dan pensyarah.
(2) Resolusi-resolusi bercorak politik dibentang dan dikeluarkan untuk tatapan umum dan kerajaan.
(3) Penerbitan akhbar, majalah dan risalah atau kenyataan akhbar di mana mahasiswa menyuarakan cita-cita politik mereka.
(4) Demonstrasi di mana mahasiswa menyampaikan pandangan dan ideal perjuangan mereka.
(5) Sesetengah mahasiswa mengambil bahagian dengan memegang jawatan dalam parti-parti politik, seperti Parti Rakyat.

Sama ada ukuran politik yang sedemikian rupa adalah ukuran paling tepat untuk zaman tersebut, dan sama ada pemilihan zaman tersebut itu sendiri adalah pemilihan yang tepat, ia terserah kepada pandangan masing-masing individu. Ini adalah kerana tidak wujud satu kayu ukur, indikator atau kriteria yang saintifik tentang keaktifan, kelembapan atau kemuncak gerakan mahasiswa. Bagi mereka yang mengukurnya dengan ukuran politik, antara hujah utamanya ialah gerakan mahasiswa harus berbeza daripada sekadar penganjuran aktiviti kokurikulum oleh pelajar sekolah menengah tinggi.

Mahasiswa dalam PRU

PRU 13 bakal tiba tidak lama lagi. Bacaan ahli-ahli politik kemungkinan paling awal pada bulan julai ini. Persoalan yang timbul dimana tempat mahasiswa menjelang pilihan raya nanti. Semua sedia maklum bahawa mahasiswa yang dipanggil ‘Kuasa Ketiga’ iaitu pengundi atas pagar yang sangat penting diperhatikan justru golongan ini dilihat memiliki critical thinking yang sangat prihatin terhadap apa yang berlaku di negara sekarang. Golongan atas pagar ini mungkin tidak menyokong mana-mana parti politik tetapi mereka hanya akan mengundi parti dan calon yang memenuhi cita rasa mereka. Mereka ini melihat isu dan cara mana sesuatu parti yang bertanding itu menangani isu itu. Mereka juga meneliti rekod parti pemerintah dan pembangkang.

Bercakap soal keberanian mahasiswa menyertai pilihan raya umum akan datang. Bagi saya bukan soal bertanding ataupun tidak, berani atau penakut. Tapi yang penting bagaimana kita boleh hadirkan atau berikan calon yang terbaik kepada masyarakat. Jika ada calon yang boleh kita sepakati kebolehannya dalam memimpin, apa salahnya kita serahkan kepada rakyat. Dan perlu diingat pemimpin bagi masyarakat bukan lagi ruang mahasiswa sahaja. Soal kuliah, soal parlimen, soal kebajikan rakyat, soal mahasiswa dan sebagainya. Mahasiswa perlu lebih matang fikirkan soal ini dan bukan bertindak dengan keberanian dan semangat semata-mata tanpa membuat persediaan yang rapi.

Golongan muda dan ‘Kuasa Ketiga’ ini kemungkinan menjadi kuasa penentu akan kemenangan calon-calon dalam PRU Ke-13 nanti. Mahasiswa sedang memerhatikan sungguh- sungguh perjalanan Pakatan Rakyat dan Umno/BN, terutama para calon yang akan dikemukakan oleh kedua-dua pihak. Mahasiswa dan anak muda hanya akan memberikan undi kepada calon yang mereka lihat berwibawa, calon yang berilmu, mesra rakyat dan berfikiran terbuka serta calon yang tidak pelahap dengan pelbagai habuan atau boleh dibeli dengan wang dan ganjaran lain. Boleh disimpulkan bahawa golongan generasi muda dan golongan mahasiswa ini adalah golongan yang sangat kritikal. Jangan ada siapa yang berfikir bahawa mahasiswa adalah ‘pengundi mainoriti’, tidak penting dan bukan penentu keputusan pilihan raya nanti.


MOHD YUSOF HADHARI B. SAIDON -UTMKL
KETUA PENERANGAN GAMIS PUSAT

Blog beliau boleh dilawati melalui :
SeutasTasbih Blog

READ MORE >>

Monday, 23 May 2011

Konflik etnisiti dan kebiadapan politik

0


Malaysia dan masyarakat majmuk
Umum mengetahui bahawa Malaysia adalah sebuah negara bermasyarakat majmuk. Apabila sesebuah negara mempunyai masyarakat majmuk, maka tentulah negara tersebut terdiri daripada beberapa kelompok etnik atau bangsa. Negara Malaysia mempunyai masyarakat berbilang bangsa yang terdiri daripada kelompok etnik yang besar seperti etnik Melayu, Cina dan India serta etnik lain yang tidak dominan.

Kepelbagaian etnik sering menimbulkan konflik di dalam pembinaan negara-bangsa. Oleh itu, para sarjana sains politik meletakkan kepelbagaian ini sebagai salah satu faktor ketidakstabilan dalam negara. Kepelbagaian ini dikatakan mampu merangsang persaingan dan melahirkan hegemoni etnik ke atas etnik yang lain. Lazimnya, konflik etnisiti mengakibatkan ketidakstabilan demokrasi di mana etnik yang dominan berusaha mencari jalan merealisasikan matlamat untuk kepentingan etnik mereka.

Situasi ini mendorong para sarjana sains politik merekabentuk pelbagai modul dalam rangka menjelaskan kepelbagaian konflik etnik. Antaranya ialah teori konsosiasionalisme di mana kestabilan dapat dicapai melalui permuafakatan dan penerimaan kemajmukan etnik. Di Malaysia, hampir keseluruhan kajian terhadap tema ini mengaplikasikan pendekatan konsosiasionalisme bagi negara Malaysia.

Kebiadapan politik para pemimpin

Malaysia, semakin berhati-hati dalam menanggapi isu perkauman selepas peristiwa 13 Mei 1969. Masyarakat di Malaysia secara moralnya sangat menitikberatkan sikap saling menghormati antara kaum di atas kesedaran bahawa isu sensitif seperti perkauman tidak patut dibangkitkan. Persefahaman ini sudah lama dibina hasil integrasi antara kaum dalam kehidupan bermasyarakat.

Namun di atas kepentingan tertentu, persefahaman yang sudah lama dibina ini diruntuhkan oleh sesetengah pihak. Para pemimpin politik pada hari ini cenderung beraksi mematikan pihak lawan mereka dengan menggunakan isu perkauman. Mereka sanggup beraksi dengan landasan kebiadapan politik seperti ini hanya dengan tujuan meraih semula kepercayaan rakyat.

Isu Muqabalah UMNO-PAS di atas nama Melayu, Isu Perdana Menteri dari kaum Cina dan pelbagai isu lain yang dimainkan oleh parti UMNO dan sekutunya BN kini meniup kembali api konflik perkauman. Pemimpin-pemimpin politik bukankah harus lebih faham dan jelas bahawa taktik dan strategi politik ini tidak berjaya mengumpan masyarakat. Bahkan dengan tindakan ini masyarakat lebih mengenali siapa sebenarnya yang mengkhianat bangsa dan tanahair.

Mencontohi politik gaya Nabi

Islam adalah agama yang menjunjung prinsip keadilan di dalam praktik politik dan pemerintahan. Praktik ini dicontohkan sendiri oleh Nabi s.a.w di zaman pemerintahan Negara Islam Madinah. Persefahaman yang dibentuk oleh Nabi s.a.w tatkala mempersaudarakan Muhajirin dan Ansar menunjukkan bahawa Islam tidak pernah meletakkan garis perbezaan walaupun pada ketika itu masyarakat Madinah jelas berbeza dari sudut komposisi kaum dan kepelbagaian agama.

Malah, persefahaman yang dicapai ini digariskan sebagai etika masyarakat Madinah ketika itu. Setiap anggota masyarakat harus menghormati dan menerima perbezaan dengan mengiktiraf hak dan menunaikan tanggungjawab masing-masing. Hal ini mungkin sudah dilupai oleh para pemimpin politik yang asyik memikirkan perlawanan berbanding memikirkan pembangunan negara. Sebab itu aksi kebiadaban politik ini terus berleluasa.

Contohilah politik gaya Nabi dalam memimpin negara, nescaya masyarakat umum dapat melihat bahawa Islamlah yang sebenarnya memandu negara.

Muhammad Safwan Anang @ Talib
Presiden Persatuan Mahasiswa Islam UM

READ MORE >>

Monday, 16 May 2011

Anak Muda Tolak Politik Lucah

0
Setelah politik Ketuanan Melayu, sekali lagi Umno dan BN menghidangkan politik kotor. Politik yang tiada nilai, tiada pendidikan, tiada intelek, tidak membangunkan idea dan tidak mencambah wacana sihat. Yang dihidangkan, video seks yang bagi anggapan seorang warganegara dan anak muda, sangat jauh daripada moral dan nilai murni.

Sisi anak muda

Hari ini, jika anak muda ingin menonton apa sahaja video seks atau lucah, mereka boleh sahaja ke laman You Tube, Metacafe dan sama waktu dengannya. Mudah sahaja, taip apa sahaja video yang diinginkan.

Tidak perlu tunggu media mengkhabarkan apakah laman web cadangan untuk video itu. Tak perlu. Apatah lagi, membuat tayangan percuma di hotel seumpama Seri Carcosa.

Atau menunggu siapa-siapa yang ternama seumpama Datuk T atau yang sama dengannya menganjurkan tayangan video seks.

Anak muda hari ini bingung, apakah yang cuba diajar dan dididik dalam pembelajaran politik di negara ini oleh ahli-ahli politik, terutama Umno dan BN.

Di mana Datuk Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi yang telah menulis buku berkenaan ‘Politik Baru’, yang mengenengahkan politik nilai, berbanding politik kotor. Di mana? Tidak dibentangkan kah buku ini kepada pemimpin dan ahli Umno?

Di saat, anak muda hari ini ingin membuat perbandingan secara ilmiah dan intelek terhadap pemimpin dan dasar-dasar parti politik untuk dibuat pertimbangan di dalam pilihan raya akan datang, dibawanya video seks lucah.

Di saat anak muda menunggu ‘Buku Biru’ hasil idea dan perbincangan Umno dan BN untuk dibandingkan bersama ‘Buku Jingga’ Pakatan Rakyat, dihidangkan ‘Tayangan Blue’. Apa ini?

Pak pensyarah, tok mufti

Mana pak-pak pensyarah yang dulu begitu lantang bersuara menganalisis serta mengutuk pemimpin Pakatan Rakyat dalam berpolitik? Apa tunggu lagi, buatlah artikel, kertas kerja, nyatakan pendirian politik kotor ini.

Mana tok-tok mufti yang dulu seronok berfatwa mengharamkan itu dan ini? Keluarlah fatwa, nyatakan pandang sisi agama kepada politik kotor ini. Kenapa senyap?

Anak muda nak juga tahu.

Kepada Umno-BN, anda telah mendidik generasi akan datang dengan pendidikan sosial dan politik yang sangat buruk dan kotor. Generasi muda akan mengingatinya dan sejarahnya akan diceritakan kepada generasi seterusnya betapa tidak bertamadunnya politik dan parti itu.

Kepada Pakatan Rakyat, teruskan berwacana, mendidik, dan mengintelekkan pemikiran rakyat dengan idea-idea baru yang realistik. Anak muda terima ini semua. Kita perlukan perdebatan dan wacana ilmiah untuk menghidupkan budaya ilmu bukan video seks!
READ MORE >>

Beri kebebasan anak muda melontar idea

0
Anak muda negara adalah aset yang sangat berharga bagi sesebuah negara.Jika ingin melihat kemajuan sesebuah negara di masa hadapan, maka lihatlah anak mudanya ketika ini.Andai baik dan berkualiti mereka di masa kini, maka hebat dan mantaplah kepimpinan dan pengurusan negara itu pada masa akan datang.

Jika di tanya berkaitan kemajuan negara semua mahu negaranya maju.Juga jika di tanya tentang kualiti berkaitan pengurusan berorganisasi dan kepimpinan, semua ingin melihat organisasi dan kepimpinan yang baik dan hebat meminpin rakyat.

Namun untuk mencapai kesemua itu, bermula daripada pendidikan dan pentarbiahan oleh ibu bapa dan seterusnya di sambung oleh para guru yang mengajar anak muda itu di alam persekolahan dan kampus.

Jika di sekolah mahu pun di kampus, maka para guru bertanggungjawab meberikan didikan yang berkualiti kepada anak muridnya.Para guru bukan hanya perlu mengajar untuk menghabiskan silibus pelajaran yang di berikan oleh pihak kementerian sahaja.

Namun penekanan dalam pembentukkan akhlak dan moraliti pelajar sangat perlu di tekankan.

Kemudian dalam konsep mendidik mahasiswa di alam kampus, para pensyarah perlu menyampaikan ilmunya dengan metod yang pelbagai supaya mahasiswa yang bergelar remaja itu tidak bosan untuk mengkaji dan mendalami ilmu.

Malah mereka cintakan ilmu dek kerana metod yang selari dengan jiwa remaja kini. Hal ini kerana, ilmu ini bukan hanya untuk di pelajari namun ia wajib di amalkan dalam kehidupan kita seharian.

Dalam aspek demokrasi pula jika di perhatikan secara halus, Ia sebenarnya kini semakin lama semakin terhakis dari konsep demokrasi yang pihak kerajaan canang-canangkan dulu.

Demokrasi ialah suatu bentuk kerajaan di mana kuasa menggubal undang-undang dan struktur kerajaan adalah di tentukan oleh rakyat.

Dalam sistem demokrasi, undang-undang digubal samada oleh rakyat atau wakil yang dipilih oleh rakyat. Manakala rakyat bebas bersuara dalam menyatakan idea pandang mereka kepada pihak berkuasa.

Teringat saya dengan kata-kata Sukarno,bekas Presiden Indonesia suatu ketika dahulu.Beliau berucap di hadapan rakyatnya sebelum beliau di desak untuk undur diri pada tahun 1980.

Beliau sebut “jadikan penderitaan aku sebagai bukti bahawa walaupun kuasa presiden,ada batasnya.Kerana kuasa terakhir ada pada rakyat.Dan perlu diingat, sebesar-besar kuasa terletak pada Tuhan.

Namun dalam amatan saya sekarang kondisinya adalah sangat berbeza. Rakyat tidak bebas dalam melontarkan idea pandang mereka kepada pihak berkuasa. Bahkan jika terlebih kata, maka di humbannya ke dalam penjara. Juga sama keadaannya bagi pihak anak muda yang bergelar mahasiswa.

Di kampus mahasiswa di kongkong dan di catur oleh pihak pentadbiran masing-masing. Segala gerak kerja mesti mengikut arahan dan telunjuk mereka.Jika tidak, mahkamah AUKUlah destinasi akhir mereka.

Kesannya mahasiswa sekarang semakin takut untuk berpencak di pentas pidato untuk melontarkan idea pandang mereka terhadap segala isu yang berlaku di sekitar kampus mahu pun di sekitar
negara.

Mahasiswa di doktrin untuk datang ke kampus hanya untuk menimba ilmu dan mendapat PNGK yang tinggi tatkala bergelar graduasi nanti. Hari-harinya hanya di bilik kuliah,jika lapar pergi ke kafe dan bila mengatuk balik ke kolej.

Pada saya doktrin itu dari satu aspek memang betul. Namun jika itu sahaja penekanannya, secara peribadi ia masih belum cukup bergelar untuk mahasiswa yang matang.

Bagi saya anak muda yang intelek dan berilmu bukan hanya begitu.Tetapi jika berlaku sesuatu isu di kampus mahu pun di peringkat negara, maka dialah orang yang awal datang untuk tampil membantu.

Hal ini kerana ilmu itu bukan hanya ada di dalam bilik kuliah, namun ilmu itu melata di setiap tempat yang wujud.

Jesteru, seruan saya dalam mendidik anak muda didiklah dengan didikan yang sempurna, adil dan
saksama.

Berikan kebebasan kepada mereka berpencak melontarkan idea dan bertindak berasaskan fakta dan rasional minda.Ini adalah demi untuk melahirkan barisan kepimpinan negara di masa hadapan yang hebat, berilmu dan berkualiti.



Mohd Syahid Mohd Zaini adalah YDP Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya, merangkap Presiden Majlis perwakilan Mahasiswa Nasional.

READ MORE >>

Video Seks Kotori Minda Anak Muda

0
Firman Allah bermaksud: “Dan infakkanlah hartamu pada jalan Allah, dan janganlah kamu campakkan dirimu ke dalam lembah kebinasaan dengan tanganmu sendiri, dan berbuatlah kebaikan. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik.” [Al-Baqarah:195]
Ibu bapa hari ini sangat berwaspada dengan kegiatan anak-anak yang tidak bermoral melalui medium internet. Selain majalah-majalah yang memaparkan gambar berunsur negatif, internet adalah jalan alternatif yang mudah untuk memuat turun segala video yang diinginkan. Anak muda yang terdidik dengan sistem alam maya ini didedahkan dengan pelbagai video lucah di internet.
Kebimbangan ini semakin parah apabila tapisan yang dibuat di internet untuk mengelakkan anak-anak terjebak dengan gejala negatif ini seolah-olah hanyalah sebagai syarat yang mampu ditembusi oleh mereka. Guru-guru di sekolah juga sentiasa memasukkan elemen nasihat seperti menjelaskan kesan dan akibat daripada mlihat video lucah.
Namun, usaha ibu bapa dan guru-guru seolah-olah hampa dan memutuskan semangat. Hal ini terjadi apabila siaran televisyen memaparkan cerita-cerita dan filem-filem yang sangat teruk, mempunyai adegan-adegan melampau dan pelakon-pelakon yang seksi.
Lebih hancur lagi harapan ibu bapa dan guru yang berusaha keras memastikan anak bangsa mempunyai nilai akhlak yang terpuji apabila isu video seks permainan politik diketengahkan. Bukan persoalan salah siapa, tetapi video yang dimuatkan dan gambar-gambar tidak bermoral ditayangkan untuk khalayak umum yang perlu dititikberatkan.
Akhbar tempatan memaparkan gambar lucah, siaran televisyen kerajaan menayangkan beberapa aksi panas dan pawagam rakyat (Youtube) mendedahkan segala cerita yang berlaku.
Video seks telah mengotori minda anak muda:
1) Pintu fitnah dibuka seluas-luasnya
2) Penyebaran video seks diberi lampu hijau
3) Tiada penjelasan daripada perspektif hukum Islam kepada seluruh rakyat mengakibatkan kekeliruan
4) Memberi persepsi politik kotor kepada anak muda
Dalam isu ini, peranan secara serius perlu dimainkan oleh golongan akademik dan ulama. Kes seperti ini telah membarah teruk dalam masyarakat khususnya anak muda hari ini.
Satu konvensyen besar-besaran perlu dianjurkan di peringkat nasional yang terdiri daripada golongan ulama, ahli akademik dan golongan profesional yang bebas daripada unsur politik bagi mengatasi konflik yang tidak terarah ini.
Anak muda khususnya mahasiswa Islam tidak sekali-kali dapat menerima hal seperti ini. Anak muda dan masyarakat menjadi mangsa pergaduhan politik sesama sendiri ini.
maksud firman Allah: “Serulah kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah (kebijaksanaan) dan pengajaran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalanNya dan Dialah yang lebih mengetahui siapa yang mendapat petunjuk.” [An-Nahl:125]
Justeru, saya menyeru kepada seluruh anak muda dan masyarakat luar agar kita semua berpegang dengan ajaran Islam dan nilai akhlak yang baik untuk mengelakkan terjerumus dalam kancah fitnah yang berleluasa ini. Semoga Malaysia lebih aman dan sejahtera.
We Unite For Islam

Muhammad Hafizuddin Muhamed Noor
Mahasiswa UIAM
READ MORE >>

Thursday, 12 May 2011

Ketuanan Melayu tidak laku kepada anak muda

0
Apabila memperkatakan tentang ketuanan Melayu, maka kita akan bercakap mengenai hak orang Melayu. Hari ini banyak pihak begitu lantang menyuarakan berkenaan itu terutama daripada Umno dan NGO Pro-Umno.

Bagi anak muda, sesetengah mereka berasa tidak ada keperluan ‘terpekik-pekik’ seperti mana yang dilakukan sesetengah pihak. Mungkin kerana anak muda hari ini tidak tahu langsung, ataupun barangkali sudah faham benar.

Bagi anak muda, khususnya pasca-Merdeka yakni mereka yang lahir selepas Merdeka ataupun sepuluh tahun selepas merdeka, Ketuanan Melayu tidak boleh dipaksa kepada mereka untuk diperjuangkan.

Lebih lagi anak muda yang faham.

Sejarah

Bukan bermaksud anak muda ini gagal menghayati sejarah, jauh sekali ‘menderhaka’ perjuangan tokoh-tokoh Melayu yang memperjuangkan kemerdekaan dahulu. Malah ada dikalangan mereka, walaupun tidak melaluinya (situasi perjuangan kemerdekaan), lebih menjiwai melalui penceritaan tokoh dan dokumentari.

Jika dahulu, pelajar dipaksa memahami sejarah melalui buku-buku teks sejarah yang kadangkala faktanya lebih berat sebelah yakni hanya memaparkan perjuangan tokoh Umno yang pro-penjajah. Mereka seumpama Dr Burhanuddin dilabel sebagai tokoh berhaluan kiri, walaupun beliau juga memperjuangkan kemerdekaan yang bersifat anti-penjajah.

Namun, anak muda hari ini, maklumat dan aksesnya lebih luas. Ada facebook, blog, e-book, wikipedia dan pelbagai lagi sumber maklumat untuk mengetahui sejarah.

Bahkan buku-buku sejarah orang Melayu yang bersifat analisis semakin banyak diterbitkan. Misalnya karya Dr Syed Hussin Ali bertajuk Melayu: Masalah dan Masa Depan dan The Malay Dillema karya Tun Dr Mahathir. Malah karya bertajuk Membina dan Meruntuh Malaysia yang ditulis oleh Datuk Ahmad Mustafa Hassan juga sebagai catatan sejarah berkenaan perjuangan Melayu era dahulu dan kini.

Tidak boleh tipu anak muda

Anak muda hari ini tidak lagi boleh ditipu dengan sejarah, apatah lagi ditipu dengan perjuangan menuntut Ketuanan Melayu.

Anak muda akan mempersoalkan dicelah manakah perjuangan Ketuanan Melayu, namun dalam masa yang sama hak mereka untuk mendapatkan biasiswa di dalam pendidikan yang sepatutnya diberikan kepada kesemua anak-anak Melayu dinafikan.

Anak muda juga akan mempersoalkan siapakah sebenarnya pejuang sebenar Ketuanan Melayu pada hari ini, apabila usul di dalam Dewan Undangan Negeri Selangor untuk mengembalikan kuasa Sultan ditolak oleh Adun Umno. Sedangkan anak muda boleh membaca sejarah tentang perjuangan Melayu itu.

Anak muda boleh dengan mudah mendapatkan fakta dengan luas dan dapat membezakan bagaimana harga barang yang melambung naik pada hari ini di negara Malaysia jika dibandingkan dengan negara-negara jauh lebih murah yang sama majunya dengan Malaysia.

Begitu juga anak muda akan mempersoalkan berkenaan ‘kekeringan’ peluang pekerjaan di negara tanah tumpah air mereka ini jika hendak dibandingkan dengan negara yang sudah merdeka sama seperti Malaysia. Semua itu anak muda ketahui.

Justeru untuk menipu ‘bulat-bulat’ anak muda dengan perjuangan Ketuanan Melayu sebagai pembela adalah tindakan yang meludah ke langit, terpercik ke muka sendiri.

Walhal nasib anak muda hari ini tidak juga berubah. Sudahlah perlu membayar semula pinjaman pendidikan, dengan peluang pekerjaan yang tidak menentu serta gaji yang tidak sepadan dengan harga barang dan perbelanjaan. Belum lagi memikirkan bagaimana tempat tinggal, jauh sekali mahu mendirikan rumah tangga.

Saya tidak pasti, bilakah akan berlaku ‘pemuda membakar diri’ kerana kesempitan ini. Kita jangan rasa tidak mungkin berlaku. Ini kerana sifat anak muda itu adalah tidak mudah dijangka (unpredictable).

Mohd Aizat Mohd Salleh
READ MORE >>

GALLERY

+ (Anak muda sayangkan Malaysia)
+ (Jangan pernah diam wahai anak muda)

Jom Anak Muda

+ (Anak Muda Turun BERSIH 2.0)
 

Copyright © 2011 by Anak Muda Sayang Malaysia, Design, Anak Muda